Penyanyi Asfan Diugut Bunuh Gara-Gara Baju Di AJL29

KUALA LUMPUR 19 January 2015. Penyanyi, Asfan hadir pada Anugerah Juara Lagu 29 (AJL 29) di Stadium Putra, Bukit Jalil. NSTP/Munira Abdul Ghani

Asfan Diugut Bunuh Gara-Gara Baju Di AJL29

Gara-gara memakai pakaian ranggi rekaan Meg atau nama Instagramnya, @meggoth di Anugerah Juara Lagu Ke-29 (AJL29) baru-baru ini, penyanyi Asfan yang popular dengan lagu Alasan Untuk Bahagia dikecam hebat sehari selepas acara itu berlangsung.

Motif rekaan logo mata dan lambang tiga segi pada baju yang digayakan itu disalah erti hingga ada yang menganggapnya ada kaitan dengan Dajal atau Illuminati.

Rentetan itu, Asfan telah diugut bunuh dan bakar di laman sosial oleh pengikutnya yang dilihat ekstrim.

Susulan itu Asfan membuat laporan polis bersama peguam dan pereka fesyen berkenaan di Balai Polis Gombak sekitar jam 3 petang, Khamis akibat ancaman jenayah yang berkemungkinan membahayakan keselamatan dirinya.

“Di blog hiburan atau di dada akhbar tidak wujud isu menakutkan ini tetapi saya amati di blog yang condong kepada agama dan politik menjadi sebaliknya. Malah ada yang menyifatkan logo gambar baju itu menandakan dajal sudah datang.

“Saya dicop sebagai pengikut fahaman yang bukan-bukan. Tindakan membuat laporan polis ini diharap dapat menjadi ruang saya melindungi diri.

“Saya agak tertekan hingga tak boleh tidur apabila cerita ini timbul. Ia juga sebagai langkah menjaga reputasi saya di arena seni.

“Gara-gara baju itu saya diugut bunuh, malah secara rawak ada yang terlalu ekstrim membuta tuli ingin membakar saya hidup-hidup menerusi komen mereka di media sosial,” katanya yang menyifatkan lambang serta logo di baju itu sebagai simbolik cerita cinta tiga segi untuk lagu terbarunya. – BH Online

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.