Tun Mahathir akui selama 22 Tahun Gagal Ubah Orang Melayu

22 Tahun Saya Gagal Ubah Orang Melayu - Tun Mahathir

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui gagal mengubah persepsi bahawa orang Melayu merupakan satu kaum yang malas.

Bagaimanapun jelasnya, persepsi itu turut diletak di atas bahu orang Melayu sendiri yang disifatkan malas untuk berubah.


"Orang Melayu malas ... saya kata tidak, tetapi 22 tahun saya perintah negara, saya akui gagal mengubah sikap orang Melayu ini," katanya.

Dr Mahathir berkata demikian semasa berucap merasmikan buku #WahaiMelayu karya ter‎baharu Anas Zubedy.

Ia ditulis untuk memberi inspirasi dan meningkatkan motivasi golongan usahawan muda Melayu agar lebih berdaya saing.

Kata pengantar buku itu ditulis Dr Mahathir sendiri.

Buku dengan tema "Allah tak akan ubah nasib Melayu, kalau kita Melayu tak nak ubah diri kita sendiri" dilihat tepat dengan perjuangan bangsa dengan memastikan kewujudan Melayu dalam persaingan moden era globalisasi.

Dalam pada itu, ketika ditanya 'perhubungannya' dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, ini katanya;


"Saya masih tidak sokong dia."

Dr Mahathir sebelum ini menyatakan menarik balik sokongan kepada Najib selepas melihat prestasinya lebih buruk berbanding Bekas Perdana Menteri keempat, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Dr Mahathir berkata, pencapaian Najib dalam pilihan raya umum lalu lebih buruk berbanding Abdullah selain membuktikan sokongan rakyat semakin berkurangan.

Bagaimapun Dr Mahathir mengakui tetap akan menghadiri Perhimpunan Agung UMNO yang akan diadakan pada akhir November ini.

"Saya akan hadir jika dijemput, saya masih ahli UMNO, saya ada hak untuk menghadiri mesyuarat itu," ujarnya.

Dalam perkembangan berlainan, Dr Mahathir menjelaskan, pembentangan Bajet 2015 kini dilihat lebih mementingkan orang lain daripada kaum sasar.

Dalam pada itu kata Anas, penerbitan itu diharap dapat meningkatkan semangat juang usahawan dan membolehkan mereka bermuhasabah mengenai kebolehan diri sendiri.

"Saya harap buku ini dapat manfaatkan tips serta panduan yang dikongsi untuk menjadi lebih produktif dan efisien," katanya.

Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Anas Zubedy semasa melancarkan buku bertajuk #WahaiMelayu' di Kuala Lumpur - Gambar Astro AWANI


Buku yang diterbitkan dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris itu membe‎ri simbol kepentingan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan seiring dengan usaha mempelajari Bahasa Inggeris sebagai medium penyokong pembangunan. - Astro Awani


Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.