Komposer dan penyanyi tersohor tanah air M Nasir mengakui industri muzik tempatan kini ketandusan idea untuk menghasilkan karya bermutu dan memikat pendengar.
"Susah untuk saya katakan kalau soalan itu yang ditanya. Bukan saja kita, tetapi di peringkat antarabangsa juga mengalami hal sama.
"Lagu berkualiti semakin sukar untuk dihasilkan," katanya kepada Berita Harian.
Bagaimanapun, M Nasir menafikan andaian lagu baru tidak sedap didengar atau tidak boleh diterima cuma apabila bercakap soal mutu perkara itu menjadi sangat subjektif.
Dalam pada itu, M Nasir tidak menolak kreativiti lagu hip hop yang biasanya diambil daripada rangkaian lagu hit dan disusun semula hingga menjadi dendangan baru.
"Biasanya, lagu seperti ini diambil daripada beberapa lagu lain dan digabungkan. Jika melihat dari aspek kreativiti memang mereka bagus.
"Bagaimanapun, jika mahu dinilai dari aspek keseluruhan termasuk muzik, melodi dan keaslian, agak payah kerana lagu seumpama itu membabitkan beberapa komponen lain."