'All the best' atau semoga berjaya menjadi ungkapan terakhir arwah Rosebi Ibrahim, 57 kepada anak bongsu kesayangannya penyanyi Haziq AF sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir 3 September lalu.
Biarpun ringkas namun pesanan itu akan menjadi amanat terbesar buat penyanyi yang lahir daripada program realiti Akademi Fantasia musim keempat itu.
Keakraban Haziq atau nama penuhnya Hazwan Haziq, 26 dengan bapanya itu disifatkan penyanyi itu seperti sahabat terbaiknya dan pemergian lelaki tersebut benar-benar meninggalkan kesan dalam dirinya.
“Hubungan saya dengan arwah bapa memang sangat rapat dan dia sudah saya anggap sebagai sahabat baik saya. Biasalah kalau jadi anak bongsu, perhatian arwah terhadap saya membuatkan saya rasa kehilangan selepas pemergiannya.
“Setengah jam sebelum dia pergi, dia ada memberi pesanan kepada saya dengan ungkapan ‘all the best’. Amanat terakhirnya itu akan saya pegang dan jadikan kata semangat untuk lebih berjaya dimasa akan datang.
“Lagipun selama ini biarpun saya mempunyai pembantu peribadi sendiri, arwah turut terlibat secara langsung dalam karier seni mahupun perniagaan yang saya ceburi,”cerita Haziq yang dihubungi sebentar tadi.
Allahyarham Rosebi Ibrahim menghembuskan nafas terakhir jam 12.30 tengah hari 3 September lalu di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras akibat penyakit barah hati setelah lebih kurang setahun bertarung dengan penyakit tersebut.
Dua minggu sebelum meninggal, arwah Rosebi dimasukkan ke hospital dan ketika itu disahkan bahawa sakitnya itu semakin kritikal kerana berada di tahap keempat.
Haziq dan keluarga telah maklum mengenai kondisi bapanya itu dan bersedia untuk sebarang kemungkinan.
“Apa yang saya tahu, barah hati ini agak berbeza dengan sakit barah yang lain kerana ia tidak mempunyai sebarang symptom yang jelas menunjukkan seseorang itu memilikinya.
“Selepas bapa saya didiagnosis menghidap barah hati tahap pertama tahun lalu hanya baru-baru ini dia jatuh sakit. Ketika itu dia terus disahkan telah berada di tahap keempat dan peluang untuk kembali pulih sangat rendah.
“Difahamkan barah hati lebih cepat merebak dan kami sekeluarga telah bersedia untuk menerima takdir daripada Allah SWT ini,”cerita Haziq tentang penyakit yang meragut insan paling disayangi dalam hidupnya itu.
Arwah bapanya selamat dikebumikan di Bukit Piatu, Melaka yang merupakan kampung disebelah ibunya.Bercakap mengenai perkembangan karier, Haziq yang juga seorang usahawan masih lagi aktif menyanyi dan banyak mendapat undangan persembahan korporat. Memiliki suara iras penyanyi lagenda Dato’ Ahmad Jais, Haziq merupakan antara pelapis dunia nyanyian yang giat memperjuangkan muzik asli dengan jayanya, lapor Newmalaysianpost.