Pengarah dan pelakon popular Afdlin Shauki berkata juri program realiti "Maharaja Lawak Mega 2014" (MLM 2014) tidak faham dengan tema sesebuah komedi apabila memberi penilaian yang kurang tepat sehingga menyukarkan peserta yang bertanding.
Juri untuk MLM 2014 kali ini terdiri daripada Datuk Jalaludin Hassan, Fazura, Farah Quinn (Indonesia) dan Taufik Batisah (Singapura).
"Saya menonton MLM 2014 minggu lalu dan menganggap juri kali ini sangat menakutkan, ia akan mengelirukan peserta bertanding.
"Pada pendapat saya juri seharusnya faham tentang komedi seperti tema muzikal seharusnya lawak yang dipersembahkan mengikut tema tersebut.
"Apa yang saya lihat kumpula yang mengikut tema tidak mendapat bintang yang baik, manakala yang tidak mengikut tema pula yang dipujinya," katanya kepada mStar.
Tambah Afdlin lagi, juri seharusnya mempunyai ilmu tentang konsep komedi dan bukannya hanya menilai menerusi persembahan kelakar sahaja.
Afdlin bagaimanapun berkata, ini hanya pandangan peribadinya sahaja dan percaya juri-juri mempunyai sudut pandangan mereka sendiri.
Sementara itu, Afdlin juga memberitahu bahawa dia bakal berlepas ke Jordan bersama Yayasan Kubra bagi menyertai misi membantu masyarakat Syria pada 7 Januari depan.