Jerantut: "Seram apabila saya melihat dia memegang parang yang tertusuk di mukanya sambil membonceng motosikal untuk ke Klinik Kesihatan Kuala Tahan sejauh lebih dua kilometer," kata Mat Tohor Ahmad, 43, bapa kepada seorang lelaki yang bertarung nyawa selepas parang melekat di mukanya dalam kejadian di FELCRA Tembeling Tengah, Kuala Tahan, dekat sini, semalam.
Kejadian jam 8 pagi itu berlaku apabila anaknya, Mohd Ridhuan, 20, dari Kampung Labu, dekat sini, menebas semak bersama rakannya di kawasan berhampiran di ladang FELCRA, dekat sini.
Namun, secara tiba-tiba, hulu parang rakannya tercabut lalu bilahnya 'terbang' dan tertusuk hampir lima sentimeter dalam di kepala Mohd Ridhuan menyebabkannya rebah serta terbaring kesakitan.
Ketika kejadian Mat Tohor menunggang motosikal berseorangan dari rumahnya ke kawasan ladang berhampiran sebelum terserempak dengan mangsa yang membonceng motosikal rakannya.
"Dalam keadaan kesakitan itu, Mohd Ridhuan sempat memanggil saya untuk ke Klinik Kesihatan Kuala Tahan sambil memegang parang sepanjang 30 sentimeter yang melekat di kepalanya.