Pasangan Akademi Fantasia Yazer & Ekin bakal disatukan pada 26 Disember depan


Pasangan Yazer & Ekin bakal disatukan pada 26 Disember depan

Selepas sembilan tahun menjalinkan hubungan cinta dan pernah putus satu ketika dahulu, akhirnya pasangan penyanyi Yazer dan Ekin bakal disatukan pada 26 Disember depan.

Menurut petikan laporan mStar, Yazer atau nama sebenarnya Mohd Yazer Yusof memberitahu dia tidak mengambil masa lama untuk melamar Ekin selepas hubungan mereka putus di tengah jalan pada November tahun lalu.

"Jujurnya, saya sangka jodoh kami tidak panjang lebih-lebih lagi hubungan kami putus pada November tahun lalu.

"Selepas masing-masing bermuhasabah diri, saya mengambil keputusan untuk memujuk Ekin pada April lalu dan terus melamarnya tanpa membuang masa," ujar Yazer.

Mengakui memerlukan antara satu sama lain dan berasa kosong sepanjang tempoh lima bulan itu, jejaka berusia 32 tahun ini bersyukur apabila kekasihnya menerima lamaran tersebut tanpa berfikir panjang.

Maklumat majlis resepsi pihak perempuan didedahkan.

"Saya anggap ada hikmahnya kami berpisah sementara. Masing-masing berfikir tentang hala tuju hubungan ini apatah lagi kami susah senang bersama.

"Dan saya percaya sukar untuk kita mencari pasangan yang sanggup jatuh bangun bersama-sama. Doakan jodoh kami kuat hingga akhir hayat," tambahnya lagi.

Majlis pernikahan pasangan ini bakal diadakan di kediaman keluarga Ekin atau nama sebenarnya Norashikin Abdul Rahman, 30, di kampung Bebuloh Laut, Labuan, Sabah, dan majlis resepsi sebelah pihak perempuan akan diadakan pada 28 Disember di lokasi yang sama.

Namun Yazer masih belum tahu sekiranya dia mahu mengadakan majlis di kampungnya iaitu Tawau, Sabah.

Pasangan ini mula menjalinkan hubungan cinta ketika menyertai program televisyen realiti terbitan Astro, "Akademi Fantasia" musim ketiga (AF3) pada tahun 2005.


[Sumber Foto: Beautiful Nara]

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.