Walaupun seronok berada di Los Angeles, Amerika Syarikat bagi menimba ilmu, aktres jelita Juliana Evans mengakui tidak sabar mahu pulang ke Malaysia yang dijangka pada penghujung tahun ini.
Dipetik daripada laporan Harian Metro, Juliana atau mesra dengan panggilan nama Jue memberitahu selain daripada menyambung pengajiannya, dia turut mengambil peluang menjalani uji bakat serta membabitkan diri dalam kerja-kerja produksi."Saya seronok berada di sini kerana banyak pengalaman baru yang ditimba. Cara mereka bekerja juga sedikit berbeza daripada kita.
"Di sini juga ada ramai kenalan yang sering membantu saya, memberi peluang serta galakan kepada saya untuk bergiat aktif. Jadi tidak terasa sunyi melainkan rindu kepada keluarga dan teman-teman rapat," ujarnya.
Aktres berusia 25 tahun ini memberitahu walaupun gembira dengan kehidupan di sana, dia tidak menyangka masih menerima tawaran di tanah air biarpun tinggal beribu batu jauh dari Malaysia.
"Saya mengambil keputusan untuk kembali ke tanah air kerana tanpa disangka walaupun tinggal jauh beribu batu dari Malaysia, ada pelbagai tawaran menarik menanti saya.
"Malah ada produser sanggup menunggu sehingga saya pulang dan baru mereka akan memulakan penggambaran. Ini sangat membuatkan saya terharu kerana saya fikir mungkin orang sudah tidak ingat kepada saya kerana bertahun juga menetap di LA.
"InsyaAllah, saya akan terbabit dalam sebuah produksi filem hujung tahun ini," tambahnya lagi.
Jelas Jue lagi, kerjaya seninya akan diuruskan oleh sebuah syarikat pengurusan yang akan diumumkan tidak lama lagi sekembalinya ke tanah air nanti. Namun buat masa ini, segala urusan tawaran dikendalikan oleh bekas Pegawai Perhubungan Awam Astro Shaw, Afdal Shahizad.
Meletakkan sasaran untuk melebarkan sayap di peringkat antarabangsa, Jue memberitahu dia akan bergerak aktif dan berkongsi pengalaman serta ilmu yang ditimbanya sepanjang di LA.
Selepas tamat pengajian dalam jurusan Sarjana Muda Komunikasi di Universiti Western Michigan, Jue telah meneruskan pengajiannya di Akademi Filem New York.