Selepas bermain teka-teki tentang status sebenar hubungan mereka, akhirnya aktres jelita Izara Aishah akui sedang menjalinkan hubungan cinta dengan anak tiri penyanyi nombor satu negara Dato' Siti Nurhaliza iaitu Adib Khalid.
Dipetik daripada laporan Media Hiburan, Izara mengakui dia enggan membuka mulut tentang hubungan mereka sebelum ini kerana ia masih lagi di peringkat awal.
"Di awal perhubungan saya akui kami hanya berkawan. Itu yang saya mengambil pendekatan untuk tidak terlalu bercerita dan apabila kami sudah bersama atau lebih tepat bercinta, tidak ada apa yang perlu saya sorokkan.
"Tapi tidak bermakna saya perlu bercerita satu dunia akan hal tersebut. Bila saya sudah berterus-terang, harapnya tidak ada lagi spekulasi yang timbul," ujarnya.
Hubungan antara Izara, 22, dan Adib, 24, telah menjadi perhatian ramai kerana sering dilihat mesra bersama, tetapi masing-masing lebih selesa tidak memberi sebarang kenyataan tentang perkara tersebut.
Dalam perkembangan lain, anak kepada Datuk Seri Khalid Muhammad Jiwa ini telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tune Studios/Tune Records selain bertindak sebagai pemegang saham syarikat kumpulan Tune yang berkuatkuasa 9 Oktober lalu.
Dipetik daripada mStar, berita ini telah disahkan oleh Adib menerusi laman sosial Instagram miliknya.
"Saya ingin berterima kasih kepada semua di Tune Group terutamanya Datuk Kamarudin Meranun dan Tan Sri Tony Fernandes di atas kepercayaan diberikan kepada saya untuk memikul tanggungjawab dan mengalu-alukan kedatangan saya ke dalam keluarga Tune," ujarnya.
Jawatan tersebut sebelum ini telah dipegang oleh Allahyarham Jeremy Ahmad Maikel sejak tahun 2012. Jeremy, 31, telah meninggal dunia pada 9 April lalu di Mekah ketika mengerjakan ibadah umrah.
[Sumber Foto: Instagram Izara Aishah]