Dua gadis nekad melompat keluar dari teksi dinaiki yang sedang bergerak selepas 'ditawan' pemandu bersenjatakan pistol selama hampir 30 minit.
Dalam kejadian jam 11.30 malam kelmarin, mangsa berusia awal 20-an diculik seorang pemandu teksi di kawasan Bukit Bintang di sini, sebelum dilarikan sejauh 16 kilometer ke Batu Cave, Gombak.Sumber polis berkata, kejadian berlaku sejurus mangsa menahan teksi itu untuk pulang ke rumah.
"Namun, sebaik masuk ke dalam teksi, pemandu itu terus mengacukan pistol dan mengarahkan mangsa tidak melawan.
"Suspek terus memecut laju teksinya ke arah Batu Caves. Suspek kemudian memaksa mangsa menyerahkan barangan berharga dibawa ketika itu.
"Mangsa yang ketakutan selepas diacu pistol akur dan menyerahkan barangan mereka dan merayu dilepaskan," katanya.
Sumber berkata, suspek bagaimanapun tidak melepaskan mangsa sebaliknya meneruskan perjalanan ke lokasi tidak diketahui.
"Mangsa yang ketakutan kemudian bertindak berani membuka pintu kenderaan sebelum melompat keluar.
"Akibatnya mangsa bergolek beberapa meter di atas jalan raya. Mujur mangsa tidak dirempuh kenderaan lain yang berada di belakang teksi itu.
"Mangsa yang terselamat bagaimanapun cedera di badan, kaki dan tangan. Susulan itu mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Tun HS Lee di sini, untuk tindakan lanjut.
"Mangsa yang masih menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) kerugian RM3,000 selepas beg tangan mengandungi wang tunai dan telefon bimbit dirampas suspek," katanya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainol Samah mengesahkan menerima laporan kejadian itu. - Harian Metro