Bintang kelahiran Akademi Fantasia sememangnya menyerlah


Bintang kelahiran Akademi Fantasia menyerlah

Permulaan rancangan realiti nyanyian Akademi Fantasia (AF) di Malaysia pada tahun 2003 berjaya mencipta fenomenanya tersendiri apabila mendapat sambutan hangat dan luar biasa daripada penonton.

Selepas menobatkan Vincent Chong sebagai juara musim pertama, program ini diteruskan lagi untuk jangka masa yang agak panjang dan lahirlah bintang-bintang baru yang mewarnai industri seni tempatan.

Program realiti yang diadaptasi dari "La Academia" terbitan stesyen televisyen Mexico ini berjaya melahirkan bakat-bakat hebat namun tidak kesemua mereka berjaya menyerlah dan kebanyakan daripadanya hilang begitu sahaja.

Pernah mengumumkan pengunduran rancangan ini dan tidak akan diterbitkan lagi, namun Astro mengambil pendekatan positif dalam mengekalkan semula rancangan ini pada tahun 2014 dan telah pun mula siaran konsert pertamanya pada Ahad lalu.

Rata-rata memuji celoteh Zizan Razak dan Jihan Musa yang dilihat sangat serasi dalam mengendalikan rancangan tersebut pada minggu pertama walaupun bakat peserta dilihat masih bertaraf biasa-biasa sahaja.

Jom kita imbas kembali di antara bekas peserta rancangan realti ini yang masih bertahan dan menyerlah di pentas hiburan tanah air.

Hafiz [AF7]



Pemilik nama sebenar Mohd Hafiz Mohd Suip yang berasal dari Kuching, Sarawak ini sememangnya boleh dibanggakan oleh AF kerana berjaya melahirkan seorang penyanyi yang berbakat besar.

Penyanyi yang baru sahaja berumur 24 tahun ini memiliki vokal yang sangat mantap, maka tidak hairanlah dirinya pernah menggondol trofi Vokal Terbaik di Anugerah Juara Lagu (AJL) sebanyak tiga kali berturut-turut menerusi lagu Nokhtah Cinta, Awan Nano dan Ku Akui.

Lontaran vokalnya yang merdu menerusi lagu Bahagiamu Deritaku turut menjulang pemenang AF7 ini sebagai Juara dan Persembahan Terbaik di AJL ke-28.

Selain itu, beliau turut memenangi pelbagai anugerah di Anugerah Industri Muzik, Anugerah Planet Muzik, Anugerah Bintang Popular Berita Harian dan juga Shout! Awards.

Stacy [AF6]



Kelincahan tarian penyanyi bernama Stracie Angie Anam atau lebih dikenali dengan panggilan Stacy ini tidak boleh disangkal lagi. Mampu melontarkan vokal dengan baik sambil menyanyi menjadi kelebihan kepada juara AF musim keenam ini.

Dilahirkan pada 18 Ogos 1990 dan berasal dari Kota Kinabalu, Sabah, bakat Stacy dilihat menyerlah walaupun masih berada di dalam rancangan realiti tersebut sehingga pernah diberikan lagu baru berjudul Cinta Khayalan walaupun baru membuat persembahan di konsert mingguan.

Antara lagu-lagu hits yang pernah dinyanyikan Stacy adalah seperti Aku Stacy, Pakai Buang, Pelangi Senja, Bosan dan sebagainya. Stacy juga pernah berduet dengan Adam AF2 menerusi lagu Menggegar Dunia.

Kini Stacy masih aktif menyanyi dan sudah pun muncul dengan single terbarunya yang berjudul Gilalah.

Akim [AF7]


Anak muda berusia 23 tahun ini dilihat mempunyai bakat yang pelbagai apabila berjaya dalam bidang nyanyian mahupun lakonan.

Siapa sangka Akim juga sebenarnya pandai berlakon apabila pernah membintangi pelbagai drama, telemovie dan juga filem dan di antaranya adalah "Kau & Aku", "Saham Neraka", "Kampung Girl", "Abang Long VS Kak Yong", "OMG Ke Laut", "Hoore! Hoore!" dan banyak lagi.

Walaupun tidak bergelar juara dalam AF namun Akim bertuah kerana bijak mencari peluang dalam menyerlahkan bakatnya kepada umum.

Antara lagu hits nyanyian Akim adalah Bengang, Inilah Cinta, Janji dan banyak lagi. Akim juga sangat berbakat dalam bidang ciptaan lagu dan turut terlibat dalam beberapa iklan komersial di televisyen.

Hazama [AF9]



Pernah terkeluar di konsert prelude AF4 tidak pernah memutuskan semangat insan bernama Hazama Ahmad Azmi ini untuk terus berusaha mengejar cita-citanya menjadi seorang penyanyi.

Kerap menyertai ujibakat rancangan realiti ini selepas tersungkur, namun AF9 menjadi titik permulaan kepada dirinya selepas berjaya diserap semula dan akhirnya berjaya menjadi juara pada musim terbabit.

Antara lagu hits Hazama yang menjadi siulan ramai adalah Cinta Teragung, Simetri, Relakan Jiwa dan banyak lagi.

Penyanyi yang berasal dari Kuala Lumpur ini turut menceburkan diri dalam bidang lakonan dan pernah terlibat dalam beberapa buah karya tempatan arahan Ahmad Idham seperti "Apa Celop Toq", "Hantu Nan Sempit" dan "Lari".

Aizat [AF5]



Walaupun tidak bertahan lama di dalam rancangan AF5, penyanyi yang dahulunya berbadan 'comel' ini kini lebih menyerlah dari rakan-rakannya yang lahir dari rancangan tersebut.

Aizat atau nama sebenarnya Muhammad Aizat Amdan berusia 25 tahun ini suka mencipta lagu dan lirik lagunya sendiri dan di antara karyanya yang popular adalah lagu berjudul Lagu Kita yang menang sebaga Vokal Terbaik di Anugerah Juara Lagu yang ke-16.

Antara lagu hits yang menjulang nama Aizat di persabda seni tanah air adalah Kau Aku, Pergi, Hanya Kau Yang Mampu, Sungai Lui dan banyak lagi.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.