Apa Rozita Che Wan Rugi Hampir Setengah Juta tu


KUALA LUMPUR: Pelakon Rozita Che Wan (Cik Ta) terpaksa menanggung kerugian hampir setengah juta ringgit gara-gara dua pihak telah menggunakan nama dan gambarnya bagi mempromosikan produk kecantikan dan kesuburan tanpa kebenaran.

Rozita (kanan) bersama peguamnya Ahmad Fuad Hasim menunjukkan notis amaran yang akan diberikan kepada individu yang mempromosikan produk menggunakan namanya tanpa kebenaran. 

Rozita atau nama sebenarnya Rozita Abu Bakar@Che Wan, 40, berkata, akibat kejadian itu, dia mengalami kerugian kerana kehilangan kontrak bagi tawaran untuk menjadi duta beberapa produk gara-gara namanya dikaitkan dengan produk berkenaan di laman sosial Instagram dan Facebook.

"Saya mendapat tahu ada pihak menggunakan nama dan gambar saya yang disampaikan oleh wakil sebuah syarikat yang ingin mengambil saya menjadi duta produk mereka.

"Bagaimanapun syarikat tersebut enggan menjalinkan kerjasama dengan saya jika saya dikaitkan dengan produk berkenaan," katanya kepada mStar Online.

Rozita ditemui pada sidang media tergempar berhubung perkara itu yang diadakan di Amp Walk di sini, Jumaat.

Dalam pada itu, Rozita berkata peguamnya, Ahmad Fuad Hasim akan menghantar notis tuntutan kepada syarikat berkenaan agar tidak menggunakan namanya termasuklah menurunkan iklan mereka dalam masa terdekat.

Jelas Rozita, pihaknya akan memberi tempoh selama 14 hari untuk pihak berkenaan berbuat demikian sebelum mengambil tindakan saman di mahkamah.

”Kalau boleh saya tidak mahu membawa kes ini ke mahkamah dan sebab itu saya memberikan mereka notis untuk memadam semua iklan yang dimuat naik di laman sosial mereka.

"Sekiranya mereka tetap berdegil baharulah tindakan susulan akan diambil," katanya.

Sementara itu, Rozita memberitahu, dia mengetahui ada pihak menggunakan gambarnya sebagai promosi produk tersebut sejak beberapa bulan lalu.

Rozita turut menegaskan dia tidak pernah terlibat atau mewakili mana-mana produk kecantikan kecuali Safi Rania Gold dan Longevite.

"Penjelasan ini diharap dapat memberi peringatan kepada pengusaha produk-produk yang lain supaya kes seumpama ini tidak di pandang ringan," ujarnya.
Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.