Bekas kerani Sheila Majid didakwa pecah amanah berjumlah RM90,000

Bekas kerani Sheila Majid didakwa pecah amanah

Bekas kerani syarikat produksi Magada Entertainment Sdn Bhd milik penyanyi jazz popular Datuk Sheila Majid dihadapkan ke Mahkamah Seksyen hari ini atas tuduhan pecah amanah wang milik syarikat itu berjumlah RM90,000 untuk kegunaannya sendiri, empat tahun lalu.

M emetik laporan daripada mStar, tertuduh Nasimah Kamarudin dari Kota Damansara mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zanol Rashid Hussain.

Nasimah yang diamanahkan untuk memegang satu buku cek akaun Maybank syarikat itu didakwa telah menunaikan lima keping cek ke atas namanya dan mendepositkan lapan keping cek ke dalam akaun banknya menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM90,000.

Wanita itu ditahan pada 28 April lalu didakwa melakukan kesalahan itu di syarikat berkenaan di Jalan Balau, Damansara Heights antara 1 November 2007 dan 28 Mac 2008 selepas mendapat aduan daripada penyanyi Sheila Majid yang juga pengarah urusan syarikat tersebut.
Nasimah turut didakwa mengikut seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Sebelum ini,  Timbalan Pendakwa Raya Haderiah Siri tidak menawarkan sebarang jaminan, namun Nasimah yang tidak diwakili peguam memohon jaminan yang minimum kerana dia perlu menyara anaknya masih bersekolah.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Januari depan untuk sebutan semula kes.


[Sumber Foto: Venus Buzz]


<

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.