Selepas lebih seminggu mendiamkan diri daripada memberi sebarang respon berhubung kemelut yang membabitkannya menyelar media Melayu kerana tidak menghadiri konsert sulungnya di Malaysia pada 13 September lalu sehingga mengundang kemarahan pihak media, akhirnya penyanyi Shila Amzah tampil memberi penjelasan dan menjawab segala dakwaan yang dilemparkan kepadanya.
Dalam satu sidang media khas yang berlangsung petang semalam, Shila menyatakan segala dakwaan dan tohmahan yang dilemparkan mengatakan konsertnya itu ditaja oleh sebuah syarikat perjudian terbesar di negara ini adalah tidak benar dan ia membuatkannya tersinggung dengan tuduhan tersebut."Sebab mengapa saya pulang ke Malaysia untuk menghadiri sidang media hari ini walhal saya masih ada tugas di China adalah kerana saya benar-benar tersinggung dengan tulisan dilaporkan media, khususnya akhbar Kosmo! yang mendakwa konsert saya ditaja oleh syarikat judi.
"Tohmahan tersebut benar-benar mencalarkan reputasi saya bukan sahaja sebagai seorang muslim, malah sebagai seorang wanita yang mengenakan hijab, serta ayah saya yang begitu mendukung budaya dan agama pasti tahu perkara itu adalah satu kesalahan di sisi Islam.
Shila Amzah ditemani bapanya, penyanyi ND Lala pada sidang media yang berlangsung petang semalam. |
"Saya membawa nama Malaysia di mana saja saya pergi seikhlas hati saya tanpa meminta apa-apa pun daripada sesiapa, menggunakan perbelanjaan sendiri dan bergerak sendiri tanpa meminta sebarang balasan. Apa yang saya lakukan ini adalah satu tanggungjawab sebagai seorang yang cintakan negara. Sumbangan saya kepada negara sangat kecil kerana saya bukan seorang wira yang pergi berperang dan sebagainya. Namun saya benar-benar terkilan perkara ini berlaku. Jika anda tidak boleh menulis perkara yang baik tentang saya, lebih baik jangan tulis langsung," jelasnya dengan nada terkilan.
Menyentuh tentang tindakannya yang memuatnaik semula (repost) sekeping foto yang diambil dari akaun Instagram @Shilaamzah_photography yang mendakwa media Melayu tidak hadir pada malam konsert dan hanya berminat menulis perihal peribadi berbanding karier, penyanyi berusia 24 tahun ini mengakui berbuat demikian dan merasakan ia bukan satu kesalahan.
"Kenyataan tersebut dibuat berdasarkan pemerhatian peminat yang melihat lebih banyak media bahasa Cina datang ke konsert membuat liputan berbanding media Melayu. Sebaik saja saya melihat kenyataan tersebut, saya sedar ia cuma satu persoalan atau pertanyaan yang disuarakan oleh peminat yang prihatin. Ia juga merupakan satu soalan yang turut membuat saya tertanya-tanya dan pada masa itu, ia masuk akal lalu saya muatnaik semula.
"Saya tidak melihatnya sebagai satu kesalahan kerana sebelum ini saya juga pernah melihat ramai artis yang memuatnaik semula pandangan peminat terhadap karier mereka," ujarnya lagi.
Ditanya adakah dia akan membuat permohonan maaf kepada media Melayu berhubung insiden ini, Shila menyatakan dia boleh memohon maaf tapi dalam masa yang sama merasakan pihak yang terkait dengan isu ini dan membuat tuduhan terhadapnya sebagai tidak matang.
"Sebagai seorang yang muda, saya meminta maaf sekiranya tindakan saya memuatnaik semula gambar pandangan peminat itu telah mencetus kemarahan rakan wartawan. Namun saya juga ingin menambah, apabila ada segelintir di antara rakan-rakan media yang mengaitkan artis lain untuk memberi pandangan tentang diri saya, walhal ada di antara mereka tidak pernah minum kopi bersama (mengenali dirinya dengan rapat), bagi saya tindakan itu lagi tidak matang, tapi saya boleh minta maaf demi menjernihkan keadaan," katanya.
Selain ND Lala, sidang media ini turut dihadiri oleh jurucakap pihak penganjur Mega Music, Eric Chong. |
Dalam sidang media tersebut, Shila telah ditemani oleh ayahnya, penyanyi ND Lala dan wakil daripada pihak penganjur serta beberapa orang peminatnya.
Sementara itu jurucakap pihak penganjur Mega Music, Eric Chong pula menafikan dakwaan beberapa pihak media tempatan yang mengatakan mereka terpaksa mengemis bagi membolehkan mereka membuat liputan konsert, sebaliknya menjelaskan pihaknya telah menghantar jemputan kepada setiap agensi berita tempatan beberapa sebelum konsert berlangsung.
"Beberapa hari sebelum konsert, saya telah menghubungi setiap wakil media untuk memastikan kehadiran mereka termasuklah akhbar tempatan, jadi saya hairan bagaimana mereka mendakwa tidak mendapat jemputan daripada kami," ujar Eric.