KENANGAN bersama
Ketua Pramugara pesawat MH370 yang belum ditemui hingga sekarang,
Andrew Nari tidak mungkin dapat dilupakan oleh Pengasas dan Pengarah
Urusan Utas Travel & Tours Worldwide Holidays Sdn Bhd, Datuk Mohamad
Din Yusoh.
Ikuti perkongsian cerita Mohamad Din bersama wartawan Sinar Harian, Amran Ali.
MEMANG.
Sudah beberapa kali saya bertemu Andrew Nari. Kalau naik kapal terbang
ke luar negara, terutama ke Eropah, walau tidak kerap, tetapi agak
selalu juga kami sepesawat.
Tapi, kami sekadar membalas ‘hello’ dan senyuman.
Pada 15
November tahun lalu, saya ke Perth, Australia. Saya menggunakan
penerbangan MAS, kelas bisnes, bersama seorang rakan bernama Datuk
Shamsudin. Dan ketika itu, sekali lagi saya bertemu Andrew.
Kebetulan, sewaktu di Perth, MAS turut menempatkan anak kapal termasuk juruterbang di hotel yang sama tempat saya menginap.
Pada sebelah pagi keesokan harinya, selepas bersarapan, saya pelawa Andrew keluar.
Saya kata
pada Andrew, kalau tidak ke mana marilah ke pasar. Kebetulan Shamsudin
ada sebuah rumah di Perth. Dia hendak beli ikan untuk dimasak. Andrew
menerima pelawaan itu.
Sepanjang perjalanan kami, banyak bercerita. Antaranya cerita bagaimana komitednya Andrew dengan MAS.
Kata
Andrew, walaupun umurnya sudah hampir separuh abad, sudah lama
berkhidmat dengan syarikat penerbangan itu, tetapi tidak pernah ada
perasaan jemu untuk terus bersama MAS. Malah kata Andrew, semakin hari
rasa sayangnya pada MAS semakin menebal.
Saya kata
pada Andrew sebenarnya saya pun serupa dengannya. Walaupun tidak bekerja
dengan MAS, tapi saya sudah 32 tahun menggunakan perkhidmatan MAS untuk
ke seluruh pelosok dunia.
“Ini kerana
saya berkecimpung di dalam industri pelancongan. Saya mempunyai agensi
pelancongan, awak pun tahu. Jadi semangat saya dengan awak sama,
cintakan penerbangan nasional ini,” itu kata saya pada Andrew.
Sepanjang perbualan, Andrew juga ada meluahkan rasa kasih sayangnya terhadap keluarga yang tinggal di Kuching, Sarawak.
Saya tanya
Andrew, kenapa tak bawa keluarga ke Kuala Lumpur? Kata Andrew, lebih
mudah keluarganya berada di sana, lebih-lebih lagi boleh jaga orang
tuanya.
Dari cerita Andrew, saya dapati dia seorang yang amat mengambil berat dan begitu sayangkan keluarganya.
Kejadian pelik
Sewaktu di
Perth, kami sempat merakam gambar kenangan bersama sebelum Andrew
menyambung penerbangan. Shamsudin ambil gambar kami gunakan kamera saya.
Bila
pulang ke tanah air, ketika ingin cuci gambar diambil, tiba-tiba saya
tengok kad memori pada kamera hilang. Puas saya cari tetapi tak jumpa.
Anehnya,
sebulan selepas itu, saya bermimpi pasal kapal terbang terhempas. Tapi
saya tak tahu kapal terbang mana. Dalam mimpi itu, saya nampak kain
putih berguguran jatuh dari kapal terbang.
Selang
dua minggu selepas itu, sekali lagi saya bermimpi tetapi kali ini mimpi
pasal saya bersama Andrew di Perth. Tapi, saya langsung tidak ambil
peduli dengan mimpi itu.
Sehinggalah
pada 8 Mac lalu apabila Shamsudin menghubungi saya menyatakan ada kapal
terbang MAS hilang dari radar dan antara yang berada di dalam pesawat
adalah Andrew.
Saya terkejut dan kemudian beritahu Shamsudin tentang kehilangan kad memori kamera saya serta mimpi-mimpi yang saya alami.
Timbul terkilan di hati saya apabila kesemua gambar kenangan bersama Andrew sudah tiada.
Mujur
Shamsudin masih menyimpan gambar saya bersama Andrew yang diambilnya
dengan menggunakan telefon bimbit, jadi dia terus hantar gambar itu
menerusi Whatsapps.
Seperkara
lagi, saya tak pernah simpan keratan pas masuk setiap kali ke luar
negara, biarpun menggunakan penerbangan kelas pertama.
Tetapi,
pulang dari Perth pada November lalu, saya simpan pas masuk tersebut
kerana pada masa itu saya mahu sangat menjadikannya salah satu kenangan
bersama Andrew, kerana tidak selalu dapat berbual begitu akrab
bersamanya.
Baru-baru
ini, saya berkesempatan bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif MAS,
Datuk Ahmad Jauhari Yahya dan beberapa pegawai tertinggi syarikat
penerbangan itu. Mereka juga mengakui Andrew adalah seorang kakitangan
yang berdedikasi serta setia kepada syarikat sepanjang hampir 25 tahun
beliau berkhidmat.
Apapun yang
berlaku ke atas MH370 , anak kapal dan penumpang yang ada didalamnya,
termasuk Andrew, saya akan terus berdoa moga misteri ini akan terungkai.
Moga kesedihan keluarga mangsa dan resah kita semua akan terlerai. – SINAR HARIAN