Meskipun Lisa Surihani yang juga isteri kepada pengarah dan pelakon Yusry KRU ini sedia dikenali ramai, namun ada beberapa perkara yang peminat tidak pernah tahu mengenai siapa sebenarnya heroin filemIstanbul Aku Datang ini.
Bagaimanapun, pendedahan tersebut bakal dibuat oleh beberapa individu yang paling rapat dan penting dalam hidupnya seperti suaminya sendiri iaitu Yusry, ibunya serta sahabat baiknya.
Menariknya, rahsia Lisa Surihani bakal dibongkarkan secara eksklusif menerusi program E! News Asia Special dan bakal ditayangkan pada 30 Mac ini di Astro Channel 712, jam 10.00 malam.
Lisa Surihani yang ditemui pada majlis pelancaran dan sidang media program tersebut semalam, Lisa berkata dia berasa bertuah dan tidak menyangka kerana terpilih sebagai selebriti Malaysia pertama untuk muncul dalam program E! News.
“Ketika pihak E! News menyuarakan hasrat yang mereka mahu membuat sebuah program khas tentang diri saya, saya terkejut. Rasa macam tak percaya dan tak sangka dipilih oleh pihak E! News sebagai selebriti pertama di Malaysia. Tapi saya sangat menghargainya dan anggap ia satu penghormatan buat diri saya,” kata Lisa Surihani pada sidang media E! News Asia Special di sebuah hotel terkemuka di ibu kota, semalam.
Dalam pada itu Lisa berkata, meskipun dirinya sudah dikenali ramai namun adakalanya dia terlupa bahwa dirinya seorang selebriti.
“Sejujurnya kadang-kadang saya terlupa yang saya seorang selebriti. Sebagai contoh, kalau saya sedang berjalan di pusat membeli-belah, kemudian jika ada orang yang menghampiri saya dan mahu mengambil gambar bersama, perkara pertama yang terlintas difikiran saya ialah mereka ini saudara mara saya di sebelah siapa? Sebelah ibu atau ayah saya? Bila lama sikit baru saya sedar yang mereka ini peminat,” katanya sambil tersenyum.
Justeru Lisa Surihani juga berkata dia teruja untuk mendengar pendedahan juga perspektif orang sekeliling mengenai dirinya yang dia sendiri tidak pernah tahu.
“Saya teruja nak dengar apa kata orang-orang yang dekat dan penting dalam hidup saya ini mengenai saya. Sebenarnya saya ada juga cuba memujuk suami, bertanya pada dia apa soalan yang di tanya E! News kepadanya tentang saya. Tapi suami saya tidak mahu memberitahu sebaliknya dia berkata, nanti tengoklah”, kata Lisa lagi.
E! News Asia Special sebelum ini pernah menampilkan beberapa artis popular Asia seperti Aaron Aziz daripada Singapura, Jay Park (Korea Selatan) dan Anne Curtis (Filipina). (rtky/fr)
Sumber : www.rotikaya.com