KUALA LUMPUR: Jabatan Penerbangan Awam (DCA) mengesahkan perbualan
terakhir dalam transkrip antara pengawal trafik udara dan kokpit pesawat
adalah “Good night Malaysian 370" (Selamat malam Malaysia 370).
Perbualan terakhir itu berlaku pada 1.19 pagi waktu Malaysia.
Kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pengangkutan pada lewat malam
Isnin itu menjawab soalan yang dibangkitkan pada sidang media oleh
Pemangku Menteri Pengangkutan Dato Seri Hishammuddin Hussein berkaitan
komunikasi terakhir antara pusat pengawal trafik udara dan kokpit.
Hishammuddin turut berkata, beliau tidak pasti sama ada wujud dua versi
transkrip yang disiarkan kepada orang ramai sebelum ini dikeluarkan oleh
Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).
“Saya tidak pasti mengenainya tetapi saya boleh mengesahkan bahawa saya
turut terlibat dalam penyiasatan yang dilakukan oleh FBI sejak hari
pertama.
“Transkrip merupakan sebahagian daripada siasatan. Jika ia penting bagi
anda, saya akan berbincang dengan pakar sekiranya ia boleh disiarkan
atau tidak,” ujarnya.
Hishammuddin turut mengarahkan pasukan penyiasat untuk menyiarkan
transkrip penuh pada sidang media seterusnya jika mereka mendapat
kelulusan.
“Kami tidak menyembunyikan apa-apa. Kami hanya mengikut prosedur yang telah ditetapkan,” tegas Hishammuddin.
Terdahulu pada 17 Mac, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines (MAS)
Ahmad Jauhari Yahya memberitahu komunikasi terakhir pesawat MH370 adalah
"All right, good night" dibuat oleh Pembantu juruterbang pesawat
tersebut, Fariq Ab Hamid.