Sebagai pengguna jalanraya, kita semua tidak ingin terlibat dalam
kemalangan, tetapi bak kata pepatah “Malang tidak berbau” ada baiknya
kita mempunyai ilmu untuk menangani situasi apabila terlibat dalam
kemalangan.
1. Periksa keadaan diri sendiri dan penumpang
Selepas kemalangan, kebanyakan mangsa mesti berada dalam keadaan
terkejut dan memang sukar untuk berfikir secara rasional. Jadi tenangkan
diri dahulu dan pastikan diri sendiri atau penumpang tidak mengalami
kecederaan. Jika ada kecederaan serius hubungilah ambulans dan dapatkan
rawatan segera. Pastikan mendapat salinan laporan perubatan untuk
kegunaan tuntutan nanti.
2. Periksa keadaan kenderaan dan sekeliling
Jikalau ada kamera, ambil gambar sebarang kerosakan yang dialami, gambar
kenderaan lain yang terlibat, gambar keadaan jalan dan sekeliling.
Ambil nota seperti waktu kemalangan, keadaan trafik, keadaan cuaca,
keadaan jalan dan sebagainya, supaya boleh mendapatkan gambaran yang
lebih jelas tentang kejadian tersebut. Jikalau kenderaan masih boleh
dipandu, pindahkan kereta ke tempat yang tidak mengganggu haluan trafik.
Jikalau tidak boleh dipandu, tunggu hingga towtruck datang.
3. Dapatkan maklumat dari pemandu lain
Pastikan anda mendapat nama penuh, nombor kad pengenalan, nombor lesen
memandu, alamat terkini dan juga nombor telefon semua pemandu yang
terlibat. Jikalau ada maklumat insurans lebih bagus. Jikalau kenderaan
lain itu adalah kenderaan komersial dapatkan butiran syarikat sekali.
Jangan bertindak melulu dan pastikan diri tenang pada setiap masa.
Tindakan memarahi atau memaki hanya akan menyukarkan keadaan dan tidak
membantu sesiapa. Jika kerosakan adalah kecil boleh berbincang untuk
menyelesaikan masalah tanpa perlu melibatkan pihak polis atau insurans.
4. Hubungi pihak insurans kereta anda
Jikalau kereta dalam keadaan yang teruk dan tidak boleh dipandu, hubungi
pihak insurans untuk mendapat bantuan. Selalunya pihak insurans
menyediakan khidmat bantuan kemalangan. Kadangkala ada pihak tertentu
akan datang pada anda dan meminta anda menandatangani sebuah borang
supaya mereka boleh menarik kereta anda ke bengkel terdekat. JANGAN
tandatangan apa-apa borang atau setuju untuk kereta anda ditarik. Tunggu
bantuan daripada pihak insurans anda sahaja. Jikalau tidak, kemungkinan
anda tidak dapat dilindungi oleh insurans kereta anda. Pastikan anda
mendapat nombor telefon towtruck dan juga nombor telefon bengkel
berkenaan.
5. Buat laporan polis di balai polis terdekat
Selepas pihak insurans kereta telah menguruskan kereta anda, bolehlah
pergi ke balai polis untuk membuat laporan. Membuat laporan polis adalah
WAJIB jika hendak membuat sebarang tuntutan kelak. Semua pihak terlibat
hendaklah membuat laporan polis dalam masa 24 jam dari masa kemalangan.
Jikalau mengalami kecederaan serius dan tidak dapat membuat laporan
dalam masa 24 jam, orang lain boleh membuat laporan bagi pihak anda.
6. Membuat tuntutan dari pihak insurans sendiri
Setelah selesai semua langkah di atas bolehlah buat tuntutan dari pihak
insurans. Hubungi pihak insurans dan berikan salinan laporan polis.
Selalunya pihak bengkel akan membantu membuat tuntutan kerana mereka
telah biasa buat. Pastikan anda mendapat semua salinan resit kos
pembaikian dan dokumen lain yang berkenaan untuk rekod anda. Dari segi
kecederaan pula, jika anda mempunyai insurans kesihatan/perubatan,
bolehlah menghubungi ejen insurans anda untuk membantu anda membuat
tuntutan. Salinan laporan perubatan dan salinan laporan polis adalah
amat penting dalam proses tuntutan jadi pastikan anda membuat salinan
lebihan.
7. Membuat tuntutan dari pihak yang melanggar
Jika anda rasa bahawa sebab tunggal kemalangan tersebut terjadi adalah
dari kecuaian pihak yang lain, anda boleh membuat tuntutan terhadap
mereka. Jika ada maklumat seperti dalam perenggan 3, bolehlah hubungi
pihak insurans mereka atau jika mereka adalah syarikat bolehlah hubungi
pihak syarikat. Hantarkan surat untuk menuntut pampasan. Kebiasaannya
mereka akan menolak tuntutan tersebut dan anda hendaklah menggunakan
khidmat peguam untuk membuat tuntutan pampasan tersebut. Anda boleh
menuntut gantirugi terhadap kerosakan kepada kereta, kecederaan pada
diri dan penumpang, dan juga sebarang kerosakan atau kehilangan barangan
peribadi ketika kemalangan tersebut dan sebagainya. Anda boleh membuat
tuntutan sedemikian walaupun anda telah mendapat lindungan daripada
pihak insurans sendiri. Membuat tuntutan pampasan menggunakan peguam
melibatkan kos tetapi kebanyakan peguam akan mengenakan bayaran awal
yang rendah dan menetapkan yuran akhir berdasarkan peratusan dari jumlah
yang dituntut.
Inilah 7 langkah atau nasihat yang perlu anda ketahui jika terlibat
dalam kemalangan dan saya pasti ia boleh memanfaatkan diri anda kelak.
Jika ada salah silap atau ingin memberi nasihat tambahan silalah komen.
Terima kasih.