Nur Fazura tidak berniat burukkan Sara Ali dalam program televisyen realitinya Facing Up To Fazura


Fazura tidak berniat burukkan Sara Ali

Aktres jelita Fazura memberitahu bahawa dia tidak berniat untuk memburukkan Sara Ali, malah dia hanya bercakap benar tentang apa terjadi dalam persahabatan mereka dalam program televisyen realitinya, "Facing Up To Fazura".

Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin,berkata, melalui siaran minggu kedua program terbitan E! Asia yang ditayangkan Ahad lalu, dia hanya bercakap mengenai persahabatan mereka yang semakin renggang.

"Kalau diamati kenyataan saya dalam program berkenaan saya tidak ada niat langsung memburukkan Sara. Saya cuma bercakap mengenai persahabatan kami yang semakin renggang kebelakangan ini. Hal ini juga sering ditanyakan peminat yang agak hairan kenapa sudah lama tidak melihat kelibat kami berdua.

"Namanya juga program realiti TV, maka saya perlu bercakap hal yang benar-benar berlaku dalam kehidupan saya. Kalau saya tidak jujur bererti lari daripada konsep program ini," ujarnya seperti dipetik daripada laporan Harian Metro.

Fazura juga menjelaskan dia dan aktres drama bersiri "Maaf Jika Aku Tak Sempurna" itu telah berjanji untuk bertemu pada 17 November selepas dia pulang dari Bosnia Herzegovina dan ingin mengetahui perkara sebenar mengenai dakwaan bahawa Sara ada bercakap buruk mengenainya, tetapi tiada khabar berita darinya.

"Saya boleh saja percaya cakap orang tetapi saya memilih untuk bertanya sendiri. Namun tiba tarikh 17 November itu, tiada khabar berita daripada Sara hinggalah sekarang. Bahkan terdengar cerita baru saya kononnya banyak buat salah dengan dia, walhal sebelum ini dia mengakui buat salah dengan saya."

Tambahnya lagi, Sara turut diundang dan juga memberi persetujuan untuk muncul dalam episode kedua "Facing Up To Fazura" itu, namun dia tidak memberi maklum balas ketika pihak penerbitan ingin membuat pengesahan pembabitannya.

"Sara diundang tampil di program berkenaan untuk kita sama-sama mencari jalan damai. Namun apabila dia tidak mengesahkan kehadirannya dan pihak produksi terpaksa meneruskan rakaman dan hanya saya saja yang muncul, pastinya keadaan itu nampak seperti kebenaran berpihak kepada saya."


[Sumber Foto: Murai]


Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.