Antara punca Raja Azmi dilarang bertemu pelajar IPTA

Raja Azmi dilarang bertemu pelajar UIAM

Penerbit dan pengarah sensasi, Raja Azmi Raja Sulaiman telah dilarang mengadakan pertemuan dan sesi dialog bersama para pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan pada 18 Oktober ini atas alasan isi kandungan novel-novelnya dikatakan keterlaluan kerana mengandungi unsur seks dan fantasi melampau.

Dipetik daripada laporan Daily Seni yang meriliskan kenyataan media oleh syarikat penerbitan Merpati Jingga, pihak pengurusan UIAM dikatakan telah menghantar jawapan pesanan ringkas menerusi aplikasi WhatsApp dan memberitahu ia tidak mencerminkan pandangan masyarakat dan tidak selari dengan biah UIAM.

Walaubagaimanapun jelas Pengarah Merpati Jingga iaitu Faisal Mustaffa, tuduhan daripada pihak UIAM dilakukan secara melulu dimana Raja Azmi sebelum ini pernah menerbitkan buku-buku ajaran solat untuk kanak-kanak, buku komik Anak-Anak Sidek yang berunsurkan patriotik serta skrip berunsur keagamaan. Malah novel "KARKUMA" juga tidak memaparkan adegan seks seperti yang didakwa.

"Kami ingin menekankan di sini bahawa berdasarkan jawapan pihak pengurusan UIAM tersebut, jelas menunjukkan bahawa UIAM Kampus Kuantan mempunyai sekatan dalam membenarkan seseorang itu 'memasuki' kampus dalam memupuk sikap matang para pelajar dan tidak mempunyai sikap yang terbuka.

"Kami juga berpandangan bahawa pihak pengurusan UIAM Kuantan seolah-olah berperanan sebagai polis moral yang membentuk acuan yang dikehendaki pihak UIAM Kuantan," seperti dipetik daripada kenyataan media tersebut.

Justeru itu pihak Merpati Jingga telah membuat keputusan untuk menarik semula penyertaan mereka dalam semua program yang telah dipersetujui bersama bersempena Hari Terbuka UIAM Kuantan itu.

Sementara itu, Merpati Jingga turut memberitahu memandangkan penyertaan pada 18 Oktober ini telah dibatalkan, Raja Azmi dijadualkan mengunjungi Kolej Matrikulasi Labuan bagi berkongsi inspirasi dalam bidang penulisan.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.