Saya ingin mengulas sedikit tentang bacaan-bacaan –selain azan- yang menggunakan pembesar suara sehingga mengganggu orang ramai. Bacaan ini telah mengelirukan orang bukan muslim sehingga mereka menyangka ia azan. Sesetengah pihak cuba mempertahankan amalan tersebut atas alasan ia bacaan al-Quran atau zikir yang patut diagungkan. Mereka menyangka sikap keras mereka dalam hal ini adalah ‘perjuangan mempertahankan Islam’. Saya ingin mengulas hal ini seperti berikut;
1. Apa yang Islam syariatkan untuk diangkat suara, hanyalah azan. Adapun
selain dari itu, tiada nas yang menyuruh kita menguatkan suara sehingga
mengganggu orang lain. Bahkan perbuatan itu dilarang oleh Nabi s.a.w.
Apatah lagi dalam Islam ketenteraman orang lain dipelihara melainkan
jika ada pengecualian tertentu yang diizinkan oleh syarak.
2. Walaupun bacaan al-Quran dan zikir amatlah baik. Namun kita tidak
boleh memaksa orang lain mendengar bacaan kita. Mungkin orang lain ingin
membacanya sendiri, atau ingin membacanya pada waktu lain, atau mereka
sedang sakit atau ada anak kecil yang tidur, atau mereka tidak
difardukan solat seperti wanita yang haid atau bukan muslim dan
lain-lain.
3. Ramai orang bukan muslim keliru antara azan dan bacaan-bacaan selain
azan yang dilaungkan menerusi corong pembesar suara. Mereka menyangka
bacaan-bacaan itu adalah azan yang disuruh oleh Islam, lalu mereka
bersangka buruk dengan Islam yang harmoni ini. Apatah lagi bacaan itu
mengambil masa yang lama, sedangkan azan yang sebenar tidak lebih dari
lima minit.
4. Sebenarnya, Nabi s.a.w sendiri telah melarang orang menguatkan bacaan
al-Quran dalam masjid sehingga mengganggu jamaah lain. Dalam hadis Nabi
s.a.w, kata Abu Sa’id al-Khudri:
“Ketika Nabi s.a.w beriktikaf (beribadah dalam masjid), baginda
mendengar mereka mengangkat suara bacaan (al-Quran) sedangkan ketika itu
Nabi s.a.w berada di tempat ibadah baginda. Lalu baginda mengangkat
langsir dan bersabda: “Ketahui setiap kamu bermunajat kepada tuhannya,
jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain. Jangan kamu
angkat suara bacaan melebihi yang lain dalam solat” (Riwayat Abu Daud
dengan sanad yang sahih).
Dalam hadis ini Nabi s.a.w melarang mengangkat suara bacaan di masjid
sehingga menganggu mereka yang lain yang sedang beribadah, atau
menyakitkan orang lain. Jika mereka yang berada dalam masjid yang memang
bersedia untuk beribadah pun, tidak dibenarkan untuk diangkat suara
bacaan sehingga mengganggu konsentrasi mereka, mana mungkin untuk
dikuatkan suara bacaan melalui pembesar suara sehingga menggangu mereka
yang di luar masjid. Mungkin mereka itu mempunyai anak kecil, orang
sakit dan seumpamanya.
Ulama besar di zaman ini, Al-Syeikh Muhammad Salih al-Uthaimin r.h mengulas hadis ini dengan katanya:
“Realiti hari ini menyaksikan apa yang disebut oleh hadis ini. Ini yang
kita lihat mereka yang melakukan hal ini dengan menunaikan solat
menggunakan pembesar suara (luar masjid). Mereka itu jika menyakiti
sesiapa yang ada di sekeliling mereka, maka mereka berdosa.. tiada syak
lagi meninggal perbuatan ini lebih afdal yang pada hakikatnya tiada
faedah pun, sebab insan tidak bersolat dengan mereka yang di luar
masjid, sebaliknya dengan mereka yang berada dalam masjid.. dengan itu
kita berpesan kepada saudara-saudara kita, khususnya para imam masjid
jangan lakukan ini.. boleh jadi sesetengah orang telah solat dan perlu
tidur dan berehat, boleh jadi dia sakit lalu terganggu dengan suara ini,
boleh jadi juga masjid dekat dengan rumah, pada musim panas pula dan
anak-anak kecil terganggu dengan bunyi pembesar suara. Kesimpulannya,
masalah ini telah menimpa sesetengah orang sehingga mereka menyakiti
jiran-jiran masjid atau rumah mereka dalam perkara yang tiada faedah
baginya”. (Ibn Uthaimin, Syarh Riyadh al-Salihin:
http://www.ibnothaimeen.com/all/eBook-o.shtml).
Bayangkan kenyataan ini dikeluarkan oleh ulama besar dan terbilang
tersebut di negara Saudi Arabia yang penduduknya kesemuanya muslim.
Bagaimanakah pula bagi negara yang seperti kita.
5. Ulama silam juga telah mengingatkan hal ini, bahawa bacaan-bacaan
lain di menara-menara masjid adalah dilarang kerana boleh mengganggu
orang ramai. Al-Imam al-Hafizd Ibn Jauzi (meninggal 597H) pernah
berkata:
“Antara tipu daya Iblis ialah mereka yang mencampur adukkan azan dengan
peringatan, tasbih dan nasihat. Mereka jadikan azan perantaranya lalu
bercampur aduk. Para ulama membenci segala yang ditambah kepada azan.
Banyak kita lihat orang yang bangun waktu malam lalu memberikan
peringatan dan nasihat atas menara azan. Dalam kalangan mereka ada yang
membaca al-Quran dengan suara yang tinggi lalu menghalang tidur orang
ramai dan mengganggu bacaan orang yang bertahajjud. Kesemuanya itu
adalah perkara-perkara munkar”. ( Ibn Jauzi, Talbis Iblis, 159, Beirut:
Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).
Ini adalah larangan ulama pada zaman yang belum ada pembesar suara yang
gangguannya tidaklah setakat mana, bagaimana jika mereka melihat keadaan
pembesar suara pada zaman ini?
6. Maka, dengan itu umat Islam patut menghentikan bacaan-bacaan yang
dibuat melalui pembesar suara yang boleh mengganggu orang luar dan dalam
masjid. Mematuhi hal ini bukan kerana isu politik semata, tetapi itu
arahan Nabi s.a.w. dan juga menjaga Islam yang harmoni. Suara-suara yang
dikuatkan itu bukan menambahkan cinta mereka kepada Islam, sebaliknya
menimbulkan salahfaham banyak pihak. - Dr. Maza