Pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH066 yang bertolak dari Kuala Lumpur ke Incheon, Korea Selatan semalam dilencongkan ke Lapangan Terbang Hong Kong awal pagi ini kerana masalah generator.
Menurut kenyataan pihak MAS, generator yang menyumbang kuasa elektrik kepada pesawat A330-330 itu mengalami kerosakan tertentu membuatkan juruterbang mengambil keputusan untuk membatalkan destinasi asal penerbangan.
Kesemua 271 penumpang kemudiannya dialihkan kepada pesawat lain untuk dibawa kembali ke Kuala Lumpur manakala penerbangan MH067 dari Incheon ke Kuala Lumpur dibatalkan.
MH066 yang bertolak jam 11.37 malam semalam sepatutnya tiba di Incheon jam 6.50 pagi tadi waktu tempatan sekiranya tidak menghadapi sebarang masalah.
Jumaat lepas, pesawat MAS MH144 yang membawa 180 penumpang dan anak kapal dari Kuala Lumpur ke Kathmandu turut mengalami masalah apabila sekumpulan itik tiba-tiba merempuh cermin hadapan pesawat ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan (TIA), New Delhi.
Kejadian tersebut membuatkan landasan dipenuhi serpihan kaca namun tiada kecederaan dilaporkan. -MYNEWSHUB