Zed Zaidi minta AJK SENIMAN tidak puas hati boleh lepaskan jawatan


Zed Zaidi: AJK tidak puas hati boleh lepaskan jawatan

Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi menganggap kritikan daripada beberapa ahli jawatankuasa (AJK) mengenai tindakannya yang membuat laporan polis terhadap aktres Vanidah Imran ekoran tindakan melarikan buku cek persatuan tersebut tidak mewakili suara ahli persatuan.

Zed atau nama sebenarnya Rozaidi Jamil, sebaliknya berkata, mereka yang bersuara dan membidas mengenai kepimpinannya adalah golongan yang menyokong Vanidah dan ingin melihat Seniman kucar-kacir.

"Apa sahaja mereka katakan itu tidak mewakili suara ahli Seniman secara keseluruhan tetapi hanya yang berpihak kepada Vanidah. Ia bukan suara ahli.

"Sayang, mereka mempunyai semangat tetapi langsung tidak memahami aspek pentadbiran dan sejarah Seniman sehingga sanggup mengeluarkan pelbagai kenyataan yang tidak benar," ujarnya seperti dipetik daripada laporan mStar.

Beberapa hari lalu, beberapa ahli jawatankuasa Seniman menyelar tindakan Zed yang membuat laporan polis terhadap bendahari persatuan itu iaitu Vanidah di Balai Polis Taman Melawati pada 19 Disember kerana melarikan buku cek milik persatuan itu.

Antara yang mempertikaikan tindakan Zed ialah juruaudit Seniman, Adlin Aman Ramlie yang menyifatkan kejadian itu sebagai membuka pekong persatuan kepada khalayak dan Khir Rahman yang menganggap tindakan Zed sebagai menjatuhkan maruah orang lain.

Malah mereka turut mempertikaikan kepimpinan Zed yang dilihat mempunyai pelbagai kelemahan.

Tambah Zed lagi, dia meminta golongan berkenaan supaya mempelajari aspek pentadbiran sebelum membidas kepimpinannya sebagai presiden dan meminta barisan AJK yang tidak berpuas hati dengannya supaya melepaskan jawatan dengan baik.

"Saya minta mereka cermin diri dan belajar dari bawah tentang sejarah dan pentadbiran Seniman dan bukan terus mengata saya sombong dan bongkak apabila cuba menjelaskan sesuatu situasi kepada mereka."


[Sumber Foto: ABN Xcess]


Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.