Antara Luahan Hati DSP Mohd. Hakim, Sayu Lihat Mayat Mangsa MH17 Bergelimpangan

Antara Luahan Hati DSP Mohd. Hakim, Sayu Lihat Mayat Mangsa MH17 Bergelimpangan

klik 👉 Follow Telegram BeritaUp2date (large-bt)


Terkejut dan sayu

Itu perasaan yang mula-mula menerpa Timbalan Komander Pasukan Pengecaman Bencana (DVI) Operasi MH17, DSP Mohd. Hakim Hashom tatkala beliau bersama pasukannya tiba di lokasi nahas di mana pesawat milik Malaysia Airlines System Bhd. (MAS) terhempas pada 17 Julai lalu.

Tambah menyedihkan apabila pelbagai halangan terpaksa dihadapi oleh pasukan DVI dari Malaysia sebelum dapat menjalankan operasi di kawasan nahas yang juga merupakan sebuah wilayah bergolak di antara puak pemisah dan kerajaan Ukraine.

“Terkejut dan sayu tetapi saya perlu cepat-cepat hilangkan perasaan itu kerana tekad kami adalah untuk mencari dan mengumpul seberapa banyak mayat dan jenazah mangsa tanpa mengira dari mana asal mereka dan dalam masa yang sama mengumpul bukti-bukti untuk memastikan pelaku kepada jenayah tersebut boleh dibawa ke muka pengadilan,” katanya kepada Malaysia Gazette.

Hakim yang sebelum itu menyampaikan ceramah Merentasi Cabaran Tragedi MH17 di Kolej Ibu Zain, Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, tragedi MH17 banyak membuka fikiran beliau mengenai kehidupan yang mana kejadian seumpama itu boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.

“Paling menyedihkan apabila kami telah tiba di lokasi nahas dan nampak mayat bergelimpangan di depan mata namun kami tidak mampu berbuat apa-apa kerana dilarang untuk memasuki kawasan tersebut,” tambahnya.

Mengimbas kenangan pada malam 17 Julai lalu, Hakim yang menerima panggilan daripada seorang pegawai di Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada kira-kira jam 2 pagi yang meminta beliau menonton siaran berita mengenai tragedi berkenaan.

Mujur semasa kejadian MH370 yang berlaku kira-kira empat bulan sebelum itu, sebuah pelan tindakan khas telah ditubuhkan oleh beliau dan pasukannya yang mana semua prosedur standard operasi dan latihan telah diadakan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Namun disebabkan status pesawat MH370 masih lagi dalam pencarian maka ianya tidak pernah dilaksanakan sehinggalah tragedi ngeri menimpa MH17, sebuah pesawat milik negara yang membawa orang awam menjadi mangsa kepada konflik antarabangsa.

“Insiden adalah sesuatu yang mengejutkan. Semua orang panik malah kerajaan pun tidak bersedia kerana siapa menyangka bahawa tragedi seperti ini akan berlaku tetapi di dalam keadaan sebegini kita terpaksa memikirkan 10 langkah kehadapan.

"Dengan pelan yang telah ada, mudah untuk kita kumpulkan pasukan segera yang perlu terbang ke Ukraine bersama pasukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, ahli patologi daripada Angkatan Tentera Malaysia pada keesokan harinya namun disebabkan kawasan tersebut adalah zon konflik maka pesawat sewa khas MH5502 itu menghadapi kesukaran untuk mendarat.

"Selepas lima kali percubaan, akhirnya kami selamat mendarat pada jam 6 pagi. Syukur sangat kerana kami dah terbayang-bayang apakah kami akan ditimpa nasib yang sama dengan MH17 apabila terpaksa berlegar-legar di udara selama dua jam dengan bahan api yang sangat terhad.

"Saya sangat risau kerana memikirkan keselamatan anggota-anggota yang saya bawa, saya tidak mahu sebarang nasib buruk menimpa kami semua,” katanya lagi.

Dugaan yang dihadapi oleh pasukan DVI Malaysia tidak terhenti di situ malah semakin hebat apabila menghadapi kesukaran untuk memasuki lokasi nahas ekoran Karkiev dan Donetsk ketika itu dalam keadaan yang sangat bahaya.

Namun Hakim bersama lapan anggota bersama pasukan SMART meneruskan juga perjalanan ke Karkiev selepas mendapat arahan serta kata-kata semangat daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memastikan misi mengumpul dan membawa keluar mayat dan bahan bukti berjaya dilakukan.

“Apabila sampai di Karkiev dan dalam keadaan terumbang-ambing dan tidak tahu nak percaya kepada siapa, pelbagai kumpulan datang kepada kami tetapi kami tak kenal mana satu kawan, mana satu lawan. Kami perlu berhati-hati agar tidak tersilap langkah dan di situlah kaedah pembuat keputusan termasuklah melakukan pernilaian kepada karekter manusia digunakan bagi memastikan kami tidak mengikut kumpulan yang salah.

"Pada ketika itu, semua pihak mempunyai agenda dan kepentingan masing-masing dan sekiranya kami mengikut atau berunding dengan pihak yang salah, mungkin mayat-mayat tersebut tidak berjaya dikumpulkan dan dibawa keluar,” katanya lagi.

Bekerja di bawah tekanan tambahan pula di zon perang membuatkan Hakim terpaksa berfikir pantas dan mengunjurkan apa yang bakal berlaku sebelum membuat sebarang keputusan yang mungkin akan menggagalkan misi.

Justeru, beliau sering mengadakan perbincangan dengan semua pihak termasuklah dengan pasukan-pasukan daripada negara luar seperti Australia dan Belanda dan memastikan setiap masalah mempunyai jalan penyelesaiannya.

Ketika ini menurut Hakim, beliau bersama pasukannya sedang bersedia dan mengadakan latihan untuk berlepas sekali lagi ke lokasi nahas bagi membawa keluar baki mayat yang masih berada di sana. -- Malaysia Gazette


Kongsikan artikel ini:

Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/BeritaUp2Date


Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.