RAMAI yang tersinggung dan marah apabila penyanyi dan pelakon Erra Fazira yang baru beberapa hari bercerai melakonkan babak berpeluk dengan Awie semasa latihan Konsert Teaterikal Suara Kita di Istana Budaya (IB) baru-baru ini.
Awie adalah bekas kekasih Erra tetapi isunya di sini bukanlah sama ada kekasih atau tidak. Kelakuan Erra pada babak itu dianggap melampaui batas, tambahan pula dia baru sahaja bercerai dan masih dalam edah.
Nampaknya fenomena adegan yang bertentangan dengan norma agama, budaya dan sosial ini mulai berjangkit ke pentas teater selepas dianggap menjadi suatu perkara biasa dalam filem Melayu.
Isu Erra berpeluk dengan Awie memperlihatkan sesetengah pihak membelakangkan nilai agama dan sosial untuk memberikan hiburan yang meruntuhkan akhlak penonton.
Orang yang bertanggungjawab membuat babak itu adalah pengarah konsert Erma Fatima yang selalu dianggap sebagai pengarah drama Islamik. Tetapi apabila banyak pihak mengkritik babak itu dalam media baru-baru ini, Erma terpaksa mengubah dan mengurangkan babak melampau antara Erra dan Awie. Tetapi Erma ternyata melakukan dengan berat hati kerana sejak awal lagi dia mahu membuat babak berpeluk itu sama seperti di dalam filem lakonan Erra dan Awie.
Kita boleh sahaja menyalahkan Erra kerana sanggup berbuat demikian sekaligus menyinggung wanita Islam yang lain seolah-olah itulah yang dilakukan tanpa mengambil kira sensitiviti agama dan budaya. Tetapi Erma sebenarnya yang mencetuskan supaya kedua-dua pelakon ini dibonekakan untuk menarik penonton ke konsert itu nanti.
Penonton sebenarnya bukanlah ekstrem sangat menghalang Erra membuat konsert dengan lelaki atau berlakon di pentas dengan lelaki. Tetapi masyarakat kesal kerana Erra tidak menjaga maruahnya sendiri dengan membiarkan diperalatkan sedemikian rupa.