RAMAI berpendapat, kerjaya sebagai seorang selebriti adalah kerjaya paling mudah dan lebih istimewa, seseorang selebriti pasti dikenali ramai dan ada pengikut tersendiri.
Apatah lagi, dengan kecanggihan zaman teknologi para peminat sudah boleh mendekati selebriti kegemaran menerusi laman sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram.
Jika sebelum ini, Nabila Huda sudah meluahkan perasaan dan mengingatkan pengikutnya agar tidak sewenangnya mengiklankan produk mereka, kali ini giliran Elfira Loy pula meluahkan perkara sama.
"Sejujurnya saya tidak ada masalah dengan mereka yang berniaga terutamanya peniaga atas talian. Cuma saya kurang berkenan cara mereka dekati saya dengan #VisitMyIG.
"Saya bukanlah nak meminta barang percuma, tapi daripada mereka tinggalkan komen sebegitu, lebih baik mereka taja barang-barang tersebut kepada artis dan saya akan bantu mereka promosikan barang mereka.
"Kalau nak berniaga biarlah cara yang betul dan saya tak mahu ada pihak yang beri saya barang dan saya promosikan tapi ada pula pihak lain yang dapatkan publisiti dengan cara mudah," jelasnya.
Ceburi bidang perniagaan
Sementara itu, dalam perkembangan lain gadis berusia 19 tahun ini sedang sibuk mengusahakan perniagaan selendang secara kecil-kecilan secara atas talian yang diberi nama Twinkel by Elfira.
Jelas Elfira, perniagaan tersebut bermula dengan lukisan yang dilukisnya sendiri pada waktu senggang.
"Saya memang suka melukis tapi tidaklah pakar sangat. Kebetulan kawan saya kata lukisan tersebut boleh dicetak di atas selendang dan dari situ saya cuba menjual menerusi Instagram saya.
"Tak sangka dalam masa lima hari, 50 helai terjual dan saya rasa perniagaan ini boleh diteruskan. Selain selendang, saya juga turut mencetak lukisan saya 'casing' telefon bimbit.
"Namun kerana kekangan waktu, saya tak dapat keluarkan dalam kuantiti yang banyak. Buat masa ini saya hanya 'test market', dalam tahun depan saya berhasrat untuk membuka kiosk sendiri," katanya.
Dek kerana harga selendang yang agak mahal iaitu RM99 sehelai, Elfira berkata, dia cuba untuk mempelbagaikan barangan agar mampu dimiliki oleh para peminatnya yang kebanyakannya masih sekolah.
"Saya cuba untuk memberikan harga yang berpatutan kerana segalanya saya buat sendiri, melukis, pilih kain dan iklan. Tapi saya cuba mempelbagaikan barang agar ia mampu dimiliki.
Sudah bertudung?
Elfira yang hadir ke Majlis Tayangan Amal DiRaja Permata Hati dengan memakai tudung baru-baru ini, menarik perhatian ramai sehingga ada yang tertanyatanya, adakah dia sudah mengikut jejak adiknya, Ezlisa yang bertudung.
“Niat memang dah ada, malah setiap kali bangun tidur saya memang rasa nak bertudung. Tapi tak tahu bila. Macam hari ini saya bertudung kerana mahu mengikut karakter saya di dalam filem ini iaitu Lis,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Elfira berkata, dia kini sedang sibuk dengan penggambaran drama terbaharunya, Separuh Jiwaku yang akan disiarkan di TV9.