Diana Danielle Cerita Pengalaman Cemas Ketika Enjin Pesawat Berhenti Di Udara

Diana Danielle Dedah Pengalaman Cemas Ketika Enjin Pesawat Berhenti Di Udara


Pelakon Diana Danielle sangat terkesan dengan insiden kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 kerana dia turut mengalami saat-saat mencemaskan ketika dalam penerbangan ke Amerika Syarikat tiga tahun lalu.

Diana atau nama sebenar Diana Danielle Danny Beeson, 23, berkata, dalam kejadian itu, pesawat yang dinaikinya mengalami masalah pada bahagian enjin sehingga ia terpaksa mendarat di lapangan terbang terdekat bagi membolehkan penumpang berpindah ke pesawat lain.


"Ia sukar untuk digambarkan keadaan itu kerana saya rasakan seperti pesawat itu menjunam selama enam saat dengan enjinnya berhenti.

"Ketika itu saya dapat rasakan semua penumpang berada dalam keadaan cemas dan saling berpandangan antara satu sama lain," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Dunia Sinema HyppTV, di Menara TM, di sini, Rabu.

Tambahnya, masalah kerosakan enjin itu diberitahu selepas kapal terbang tersebut selamat mendarat bagi memindahkan penumpang ke pesawat lain untuk meneruskan perjalanan ke Amerika Syarikat.

Kata Diana, kejadian itu juga membuatkan dia fobia setiap kali terpaksa menggunakan perkhidmatan pengangkutan udara untuk ke sesuatu destinasi.

"Kalau boleh saya tidak mahu menaiki kapal terbang terutama jika pergi ke tempat-tempat yang dekat dan ia boleh naiki kereta sahaja."Setiap kali ketika kapal terbang ingin berlepas atau mendarat saya akan rasa terlalu takut sehingga kadang-kala terpaksa memeluk penumpang di sebelah," katanya.

Dalam pada itu, Diana berkata, insiden MH370 sangat menyentuh perasaan, namun jauh di sudut hatinya masih berharap penumpang dan anak kapal itu selamat selagi belum ada bukti kukuh yang mengesahkan ia terhempas di Lautan Hindi seperti dilaporkan.

Tambahnya, sejak insiden yang bermula pada 8 Mac lalu itu, dia antara individu yang tidak terkecuali mahu mendapatkan maklumat terkini tentang pesawat berkenaan.

"Sejak kejadian ini semua orang jadi pakar penerbangan termasuklah saya. Sedikit sebanyak saya belajar tentang penerbangan.

"Namun begitu, jika ingin berkongsi tentang sesuatu maklumat, kita perlu pastikan ia sahih dan tidak menimbulkan provokasi mana-mana pihak," katanya sambil mengecam tindakan media barat yang sering melaporkan berita negatif tentang Malaysia.- mStar Online
Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.