Pelakon Kacak Hefny Sahad mengakui Nad Zainal adalah cinta pertamanya


Hefny Sahad dedah Nad Zainal cinta pertama

Selepas satu perselisihan faham berlaku di antara mereka kira-kira dua bulan lalu, akhirnya pelakon Hefny Sahad mengakui Nad Zainal adalah cinta pertamanya sejak berkecimpung dalam industri hiburan dua tahun lalu.

Bagaimanapun pelakon berusia 27 tahun ini akur dengan takdir apabila hubungan mereka berakhir di tengah jalan.

"Benar Nad adalah cinta pertama saya sepanjang berada dalam industri seni. Walaupun sekejap, saya anggap apa yang telah berlaku adalah takdir kami.

"Saya pun tak salahkan sesiapa terhadap apa yang telah berlaku sebelum ini. Cuma saya hanya mampu menjadikan pengalaman lalu sebagai pengajaran untuk kita terus hidup di masa hadapan," ujar Hefny seperti dipetik daripada laporan mStar.

Pada Ogos lalu, aktres kecil-molek itu dikhabarkan telah menyerang Hefny di lokasi penggambaran drama bersiri "Maaf Jika Aku Tak Sempurna" di Jalan P.Ramlee, Kuala Lumpur.

Nad dikatakan telah meluru ke kereta milik Hefny sebaik sahaja pelakon itu tiba di lokasi penggambaran dan kejadian tersebut turut disaksikan oleh krew produksi drama berkenaan.

Hefny mengakui perselisihan faham tersebut adalah salah satu sebab punca keretakan hubungan mereka walaupun sebelum ini masing-masing menafikan menjalin hubungan istimewa.

"Memang betul ketika di lokasi "Maaf Jika Aku Tak Sempurna", Nad datang pada saya kerana mahu menyelesaikan masalah perselisihan faham antara kami, tetapi tidaklah sampai dia menyerang saya.

"Dan saya memberitahu dia ketika itu untuk berbincang masalah berkenaan pada waktu lain memandangkan saya sedang bekerja. Itu saja. Orang lain pula menokok tambah kejadian itu," katanya.

Sementara itu Hefny menjelaskan dia tidak mempunyai masalah sekiranya digandingkan bersama Nad dalam projek lakonan akan datang, tetapi masih berpegang pada pendiriannya untuk menolak sekiranya diminta bergambar dengan aktres berusia 24 tahun itu.

"Jangan salah faham pula. Memang sebelum ini pun sebarang permintaan media yang ingin menggandingkan kami dalam sebuah fotografi, kami tolak cara baik. Jadi sampailah sekarang, saya masih berpendirian begitu.

"Saya tidak mahu nanti orang kata saya nak tumpang populariti dia pula," tambahnya lagi.

Hubungan Hefny dan Nad menjadi bualan ramai selepas aktor itu dikatakan menjadi punca perpisahan antara Nad dan bekas kekasihnya, Azwan Kombos.

Hefny dan Nad dikatakan mula rapat selepas bekerjasama dalam telefilem "Mengintai Syurga Mama".

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.